Rabu, 14 Julai 2010

Profile Kampung Sentosa


Sejarah Kampung Sentosa
Menurut cerita orang tua-tua dahulu, kira-kira 250 tahun yang lalu terdapat seorang tua yang tinggal dikaki Bukit Dekey yang mana bukit itu sekarang berada di Ladang Victoria, Padang Serai, Kedah. Bukit ini juga dikenali sebagai Bukit Jefry. Orang tua yang tinggal dikaki bukit ini bernama Tok Dekey. Semasa hayatnya beliau sering datang kekampung ini untuk menziarahi beberapa kelumpuk penduduk yang tinggal disini yang kebetulan kampung ini belum lagi mempunyai sebarang nama tetap atau diakui oleh penduduk pada ketika itu. Setelah meninggalnya Tok Dekey, penduduk merasakan kampung ini perlu diberi nama dan penduduk telah sebulat suara menamakan kampung ini sebagai Kampung Dekey bagi mengenangkan jasa beliau sebagai seorang tua yang dihormati dan disegani.
Pada tanggal 21 Januari 1995 satu perjumpaan penduduk bersama JKKK Kampung Dekey telah berbincang dengan panjang lebar, majlis berpendapat bahawa kampung ini perlu ditukar nama kerana ‘DEKEY’ tidak memberi sebarang makna dari segi bahasa dan bukanlah Tok Dekey yang membuka kampung ini serta dari kesan sejarah beliau tiada meninggal sebarang kesan sejarah dikampung ini atau zuriat keturunannya. Dengan itu penduduk sebulat suara bersetuju kampung ini ditukarkan nama. Setelah perkara ini dibawa ketengah dan dengan rasminya pada tanggal 13 March 1998 Kampung Dekey telah ditukar kepada nama Kampung Sentosa.

UMNO Cawangan/JKKK(P)


Logo JKKK Kampung Sentosa
Logo ini telah distiharkan sebagai logo JKKK kampung Sentosa pada tarikh 1 September 2007, melalui keputusan pertandingan melukis dan mewarna dalam program sukan bulan kemerdekaan. Logo ini dicipta khusus dengan bentuk pengertian dan ciri-ciri yang mengandungi:-
a) Sebatang Pena
• Melambang Pendidikan, menggalakan mendidik dan sentiasa mencari ilmu kerana setiap individu itu akan mundur dan terpinggir disisi masyarakat.
b) Hulu Keris Berbentuk Seakan Peta Kampung
• Melambangkan semangat orang melayu menuntut kebebasan dan kemerdekaan dan bentuk peta memaparkan majoriti penduduk di kawasan kampung sentosa
c) Lipatan Selendang Berkait
• Melambangkan lima rukun negara yang menjadi teras perpaduan masyarakat dan rakyat berpelembagaan.
d) Perisai
• Melambangkan masyarakat perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
e) Bunga Padi
• Menjadi sumber ekonomi masyarakat setempat.
f) Jalur Gemilang
• Memaparkan elemen serta semangat antara kaum berbilang bangsa yang wujud dikawasan setempat.
g) Cermin Mata
• Melambangkan halatuju dan masyarakat berwawasan dibawah sebuah negeri berdaulat.

Lambang Warna Dalam Logo
Merah
• Melambangkan keperwiraan dalam semangat juang dan sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.
Putih
• Melambangkan kesucian dan kebersihan dalam hati nurani serta dalam kehidupan bermasyarakat untuk memupuk permuafakatan.
Biru
• Melambangkan penyatuan dan perpaduan bagi membentuk intergrasi nasional dalam melahirkan bangsa malaysia ke arah keharmonian dan kesusilaan.
Kuning
• Melambangkan kedaulatan undang-undang bagi negeri naungan kedah darulaman serta tamanam padi sebagai sumber pertanian ekonomi setempat.
Hijau
• Melambangkan warna islam sebagai agama rasmi dan penghayatan ke arah islam hadhari.

Penyataan Slogan
“ SEPAKAT MEMBAWA BERKAT ”

Membawa pengertian mendalam mengenai pentingnya permuafakatan dan perpaduan dalam modal insan serta halatuju wawasan dalam penambahbaikan intergriti nasional.

Madrasahtul Ehsaniah

Perlembagaan Pakatan ( 24 Mac 2007 )

Pengenalan
Sebelum tahun Enam Puluhan lagi pakatan ini telah wujud/ditubuh oleh golongan orang tua-tua pada ketika itu, yang mana pakatan ini pada ketika itu hanyalah mempunyai sebuah Balai Kenduri dan serba sedikit peralatan makanan dan masakan.
Pada kira-kira tahun 1970 pakatan ini telah beralih pentadbiran kepada golongan muda dan mempunyai sedikit pengetahuan maka tercetus satu idea untuk memajukan pakatan ini dengan membuat sedikit pengubahsuaian dengan kata sepakat dan sokongan penduduk kampung, lalu mengadakan satu sistem pelaburan Saham untuk membeli peralatan kenduri dan sebuah badan jawatankuasa untuk menguruskan pakatan ini dengan jayanya serta membina sebuah sebuah khemah kenduri dan kelengkapan peralatan memasak dan pinggan mangkuk. Sistem itu dikira berjaya hingga kehari ini.
Disamping itu juga pada masa yang sama, sebuah kumpulan tukang masak telah ditubuhkan untuk melaksanakan tugas-tugas memasak dirumah kenduri ahli-ahli pakatan dengan secara sukarela dan serentak dengan itu juga satu lagi sumber untuk membantu meringankan beban ahli-ahli pakatan ketika mengadakan majlis kenduri iaitu sumbangan kewangan, yang mana satu peraturan telah dibuat yang mana setiap ahli pakatan perlu menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM 2.00 bagi setiap majlis kenduri yang diadakan oleh ahli pakatan dengan niat sedekah atau tumpang kenduri. Pihak jawatankusa tadbir juga telah menubuhkan beberapa buah lagi kumpulan kecil/biro bagi melancarkan lagi pengurusan pentadbiran yang berhubung kait dengan kehidupan masyarakat di Kampung Sentosa. Antara kumpulan kecil/biro yang ditubuhkan adalah seperti berikut :-
a) Biro Tukang Masak
b) Biro Khairat Kematian
c) Biro Agama Dan Dakwah
d) Biro Pembangunan Dan Keceriaan
e) Biro Pemuda Mentara
Perlembagaan Pakatan
Fasal 1 : Nama Pakatan
1.1. Pakatan Majlis Kenduri Penduduk-Penduduk Kampung Sentosa.
Fasal 2 : Objektif Penubuhan Pakatan
2.1. Membentuk sebuah masyarakat yang bertanggungjawab serta prihatin sesama penduduk agar seimbang dan perlu tolong menolong dalam segala bidang yang membawa kebaikan bersama.
2.2. Membentuk satu golongan masyarakat khususnya institusi orang melayu beragama islam agar senantiasa bermuafakat kearah menjalankan kerja-kerja amal kebajikan.
2.3. Membantu ahli pakatan yang memerlukan kemudahan peralatan kenduri bagi tujuan tertentu dan tidak perlu mendapat sumber peralatan tersebut dari tempat lain.
2.4. Membantu meringankan beban ahli pakatan menanggung kos mengadakan majlis kenduri dengan menyalurkan sumbangan pakatan kenduri setiap ahli RM 2.00 bagi setiap majlis kenduri.
2.5. Mewujudkan sebuah kumpulan tukang masak bagi membantu memasak pada majlis kenduri ahli pakatan tanpa sebarang upah atau bayaran.
Fasal 3 : Syarat-Syarat Menjadi Ahli Pakatan
3.1. Setiap pemohon mestilah seorang penduduk berbangsa melayu dan beragama islam.
3.2. Pemohon tinggal didalam Kampung Sentosa tidak kurang dari 3 tahun, dan mempunyai hartanah serta rumah kediaman menetap dikampung ini.
3.3. Setiap pemohon perlu mengisi 3 borang khas iaitu (1) Borang Permohonan Menjadi Ahli, (2) Borang Pewaris/Penama, dan (3) Borang Wakaf Saham dan perlu diingatkan bahawa pemohon tidak menyertakan wang saham semasa penyerahan borang keahlian.
3.4. Apabila permohonan keahlian telah diluluskan oleh pihak jawatankuasa, maka pihak pemohon perlulah menyerahkan wang saham tersebut kepada Bendahari Madrasahtul Ehsaniah dalam masa 14 hari dari tarikh diberitahu dan sekiranya kelewatan berlaku selepas tarikh tersebut, maka pihak jawatankuasa akan membatalkan permohonan tersebut. Bayaran saham adalah seperti berikut :-
i) Saham Pinggan/Mangkuk RM 350.00
ii) Saham Khairat Kematian RM 35.00 (Termasuk Yuran Pendaftaran Rm 5.00)
***Harga saham adalah tertakluk kepada pindaan semasa – Rujukan Mesyuarat Agung tahunan.
3.5. Setiap pemohon mestilah menjadi Ahli Pakatan Pinggan Mangkuk terlebih dulu dan diikuti dengan Ahli Pakatan Khairat Kematian serta secara automatik akan menjadi ahli Pakatan Kenduri RM 2.00, maka apabila berlaku majlis kenduri dirumah ahli pakatan, setiap ahli perlulah menyumbang wang pakatan kenduri RM 2.00 tersebut melalui pemungut.
3.6. Setiap saham pakatan yang telah dilaburkan kedalam pakatan ini tidak boleh dituntut kembali oleh mana-mana ahli atau waris dan saham ini dianggap sebagai peralatan WAKAF AM.
Fasal 4 : Syarat-Syarat Meminjam Peralatan Kenduri ( Ahli )
4.1. Telah menjadi ahli selama 6 bulan.
4.2. Setiap ahli yang ingin meminjam atau menggunakan peralatan kenduri tersebut perlulah mematuhi peraturan pakatan Fasal 3.1 hingga Fasal 3.5.
4.3. Ahli mestilah membuat tempahan tarikh sebulan sebelum tarikh mengadakan majlis dan segala kelulusan pinjaman adalah tertakluk kepada tempahan yang terawal.
4.4. Pihak pentadbir pakatan peralatan kenduri tiada menyediakan kemudahan pengangkutan untuk mengambil/menghantar yang dipinjam.
4.5. Setiap peminjam perlu menjaga kesemua peralatan yang dipinjam dengan baik tanpa kerosakan dan kehilangan dan sekiranya perkara tersebutberlaku peminjam akan dikenakan bayaran ganti rugi mengikut nilai harga pasaran semasa.
4.6. Ahli yang meminjam peralatan kenduri perlu membayar kos susutan dan kos pengurusan buka/tutup mengikut arahan bayaran semasa.
4.7. Setiap ahli yang membuat pinjaman peralatan kenduri dan tidak mengambil sumbangan wang pakatan kenduri ( RM 2.00 ) perlu membayar cagaran sebanyak RM 50.00 sebelum mengambil peralatan.
4.8. Setiap ahli juga boleh membuat pinjaman peralatan kenduri untuk kenduri-kenduri arwah/kelumpok yang mana setiap pinjaman peralatan kenduri hanya dikenakan bayaran buka/tutup mengikut nilaian pinjaman peralatan dan sekiranya berlaku kerosakan/kehilangan ahli tersebut perlu membuat pembayaran mengikut nilai pasaran semasa.
4.9. Setiap ahli tidak boleh membuat pinjaman peralatan kenduri bagi tujuan mengadakan majlis kenduri secara besar-besaran meraikan seseorang yang bukan dibawah tanggungannya.
Fasal 5 : Syarat-Syarat Sewaan
5.1. Peralatan pakatan kenduri ini boleh disewakan kepada sesiapa saja untuk tujuan menambah sumber kewangan tabung pakatan dan peralatan ini juga boleh disewakan kepada orang yang bukan islam seperti khemah sahaja.
5.2. Setiap penyewa yang ingin menyewa peralatan kenduri perlu membuat tempahan 14 hari sebelum dari tarikh untuk digunakan.
5.3. Setiap penyewa dikehendaki membayar wang pendahuluan sebanyak RM 100.00 mengikut keadaan semasa.
5.4. Pihak pakatan dibenarkan memberi pinjaman secara percuma tanpa sebarang bayaran kepada Pejabat-pejabat, Sekolah, Masjid, Polis dan lain-lain Jabatan. Walau bagaimana pun pihak tersebut dikenakan bayaran sekiranya berlaku sebarang kerosakan/kehilangan dan pihak pakatan juga tiada menyediakan khidmat pengangkutan.
5.5. Setiap peminjam/penyewa perlu mengembalikan peralatan yang dipinjam/disewakan dalam tempoh 7 hari dari tarikh dipinjamkan/disewakan.
5.6. Jika berlaku sebarang kerosakan/kehilangan setiap peminjam/penyewa perlu membuat pembayaran mengikut nilai peralatan yang berkaitan.
Fasal 6 : Syarat-Syarat Menerima Wang Pakatan
6.1. Telah disahkan menjadi ahli pakatan peralatan kenduri selama 6 bulan.
6.2. Telah disahkan menjadi ahli pakatan peralatan kenduri atau sekurang-kurangnya telah menjelaskan wang pakatan kenduri bagi 2 kali kenduri yang telah berlalu.
6.3. Tidak pernah menangguh wang kutipan kenduri ( RM 2.00 ) sebanyak 3 kali kenduri ahli pakatan.
6.4. Telah mengadakan mesyuarat bersama Jawatankuasa Tukang Masak dan telah menjemput semua ahli pakatan kemajlis kenduri.
Fasal 7 : Penama/Waris
7.1. Setiap ahli pakatan dikehendaki menamakan seorang Penama/Waris bagi tujuan mengambil alih harta sahamnya, apabila ia telah meninggal dunia dan orang yang berhak keatas saham peralatan kenduri tersebut ialah :-
a) Isteri Pertama
b) Isteri Kedua ( Jika isteri pertama telah meninggal/berpisah )
c) Anak-anak ahli
7.2. Jika berlaku kematian ahli sedangkan ahli tersebut tidak memasukkan Penama/Waris yang akan mengambil alih harta sahamnya, maka pihak waris boleh membuat tuntutan kepada pihak jawatankuasa pakatan ini dengan mengisi borang penama ganti waris dan perlu membuat pengesahan persetujuan dihadapan jawatankuasa tadbir Madrasahtul Ehsaniah.
7.3. Setiap waris gantian tidak boleh atau dibenarkan lagi menghebahkan saham yang dimiliki dari arwah ahli kepada mana-mana waris selepas ia meninggal.
7.4. Setiap ahli pakatan yang tidak berhajat untuk memasukkan penama/waris untuk dimiliki selepas kematiannya, ia boleh mengisi borang Wakaf Am dan sekiranya ia meninggal dunia maka waris yang tinggal tidak berhak untuk membuat sebarang tuntutan keatas saham arwah.
7.5. Bagi ahli pakatan yang tinggal diluar Kampung Sentosa yang memiliki saham peralatan kenduri dan saham pakatan kenduri ( RM 2.00 ), sekiranya ia meninggal dunia maka segala sahamnya akan menjadi harta Wakaf Am, maka perlu diingatkan kepada ahli yang tinggal diluar Kampung Sentosa dikehendaki mengisi borang Wakaf Am dan sekiranya ahli tersebut tidak sempat mengisi borang tersebut dan sekiranya ia meninggal dunia, maka dengan itu pihak pewaris tidak berhak membuat sebarang tuntutan keatas harta sahamnya. ( Rujukan Keputusan Mesyuarat Agung 18 Januari 1994 )
Fasal 8 : Pindaan/Tambahan Peraturan Pakatan
8.1. Setiap ahli berhak membuat pindaan/tambahan segala peraturan pakatan peralatan kenduri dengan mengemukakan cadangan didalam majlis mesyuarat agung tahunan ahli pakatan.
Fasal 9 : Jawatankuasa Tadbir Pakatan Kenduri
Pengenalan
Jawatankuasa ini merupakan sebuah kumpulan kecil/biro yang dilantik didalam mesyuarat agung penduduk Kampung Sentosa. Perlantikan ini bertujuan memberi kuasa kepada jawatankuasa ini untuk menjalankan tugas yang berkaitan dengan urusan-urusan seperti berikut :-
a) Mentadbir/menjaga peralatan kenduri
b) Memungut wang pakatan kenduri ( RM 2.00 )
c) Memasak dirumah-rumah kenduri ahli
d) Memasak dimajlis-majlis/perayaan yang diadakan didalam masyarakat

Fasal 9.1 : Jawatankuasa
9.1.1. Seorang Pengerusi/Ketua Tukang Masak
9.1.2. Seorang Penolong Pengerusi/Penolong Ketua
9.1.3. Seorang Setiausaha
9.1.4. Sekurang-kurangnya 7 orang ahli jawatankuasa
Fasal 9.2 : Tugasan Pengerusi/Ketua Tukang Masak
9.2.1. Memastikan semua kelengkapan peralatan memasak mencukupi dan boleh digunakan pada setiap masa.
9.2.2. Mengatur tugas-tugas tukang masak mengikut kebolehan ahli.
9.2.3. Memastikan tukang masak ketika membuat tugasan dirumah kenduri tidak meninggalkan majlis tanpa urusan mustahak.
9.2.4. Memastikan semua masakan yang dimasak tidak membazir.
9.2.5. Memaklumkan kepada tuan kenduri sebelum meninggalkan tugas.
9.2.6. Memastikan semua wang pakatan mencukupi sampai ketangan tuan kenduri berserta senarai nama penyumbang.
9.2.7. Memastikan stok peralatan kenduri sentiasa berada dalam keadaan kemas.
9.2.8. Pastikan Setiausaha menyimpan rekod-rekod keahlian dengan kemas.
Fasal 9.3 : Tugasan Yang Tidak Boleh Dilakukan/Dilaksanakan
9.3.1. Tidak boleh menjalankan tugas masakan dimana-mana rumah ahli yang tidak menjemput mengadakan mesyuarat. ( Rujukan Keputusan Mesyuarat Agung 04 Februari 1992 )
9.3.2. Tidak boleh menjalankan tugasan memasak diluar kawasan Kampung Sentosa tanpa kebenaran pihak jawatankuasa madrasah kecuali mempunyai alasan yang munasabah.
9.3.3. Tidak boleh menjalankan tugasan memasak diluar kawasan kampung kecuali rumah ahli.
9.3.4. Tidak boleh menjalankan tugasan memasak dirumah penduduk yang tinggal didalam Kampung Sentosa yang tidak menjadi ahli
9.3.5. Tidak boleh mengambil sebarang mentah/masakan tanpa keizinan dari tuan kenduri/ketua tukang masak.
9.3.6. Pastikan semua jawatankuasa tukang masak memakai pakaian yang sesuai, bersih dan kemas.

Belia Sepakat


TUJUAN / MATLAMAT
(a) Untuk menyatukan belia/beliawanis bertanggungjawab didalam hal ehwal
kemasyarakatan dengan mengambil peranan yang berguna dalam kebajikan dan
keharmonian masyarakat setampat melalui aktiviti serta kegiatan yang berfaedah
samada diperingkat persatuan, daearh ataupun negeri.
(b) Untuk mendidik / melatih belia-belia menjadi individu yang berkaliber,berdikari,
berilmu, bertkwa dan berdaya maju supaya mempunyai keupayaan untuk bersaing di
dalam dunia pengurusan, perniagaan, kebudayaan, sains dan teknologi, selaras dengan
wawasan negara dengan mengambil bahagian dalam apa jua rancangan pembangunan
serta kebajikan yang memberi faedah kepada ahli-ahli belia persatuan.
(c) Menjadi sebuah persatuan belia yang aktif dan beriltizam untuk mewujudkan
kecemerlangan didalam bidang kepimpinan dan latihan yang berasaskan budaya ilmu,
untuk pembangunan sosio-ekonomi masyarakat, agama, bangsa dan negara serta
menanam semangat kasih sayang dan taat setia kepada negara.

Logo/Lambang Persatuan Belia Sepakat
Logo ini dicipta khusus dengan bentuk pengertian dan ciri-ciri yang mengandungi:-
A) Lipatan Selendang Berkait
melambangkan lima rukun negara yang menjadi teras perpaduan masyarakat belia .
B) Perisai
melambangkan masyarakat belia perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
C) Tangan Berjabat
memaparkan elemen serta semangat setia kawan dan permuafakatan sesama ahli dan masyarakat.
D) Bulatan Selempang
melambangkan semangat perpaduan belia yang berwawasan dibawah sebuah negeri berdaulat.
Lambang warna dalam logo :
1) Merah
Melambangkan keperwiraan dalam semangat juang dan sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanahair.

2) Putih
Melambangkan kesucian dan kebersihan dalam hati nurani serta dalam kehidupan bermasyarakat untuk memupuk permuafakatan.
3) Hitam
Melambangkan penyatuan dan perpaduan bagi membentuk intergrasi nasional dalam melahirkan bangsa malaysia ke arah keharmonian dan kesusilaan.
4) Kuning
Melambangkan kedaulatan undang-undang bagi negeri naungan kedah darulaman serta tamanam padi sebagai sumber pertanian ekonomi setempat.
5) Hijau
Melambangkan agarna islam sebagai agama rasmi dan penghayatan ke arah islam hadhari.
6) Penyataan Slogan
“ SEPAKAT MEMBAWA BERKAT ”
Membawa pengertian mendalam mengenai pentingnya permuafakatan dan perpaduan dalam modal insan serta halatuju wawasan dalam penambahbaikan intergriti nasional.

PSSLM - Lincah


Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM)
Cawangan Kampung Sentosa